Sunday, December 12, 2010

CIRI-CIRI PERANTAU

1. Sedar bahawa di tempat asing bukanlah kediaman kekal. Berada disana hanyalah untuk sementara waktu sahaja.


2. Jelas dengan tujuan dan mengapa ia berada di situ.


3. Tidak terikat emosi dan rohaninya dengan tempat die merantau. Hati dan ingatannya sentiasa terikat dengan tempat asalnya. Justeru dia akan hidup secara ala kadar sahaja tanpa perancangan jauh untuk terus kekal di situ.


4. Berkeinginan untuk kembali ke tempat asalnya suatu hari nanti. Kembalinya bukan dengan tangan kosong. Tetapi membawa kejayaan, kemuliaan dan kemenangan.


5. Sangat patuh kepada undang-undang di tempat dia berada. Ini kerana takut untuk menimbulkan masalah atau terperangkap di tempat orang. Lebih-lebih lagi jika tiada kenalan atau saudara mara yang boleh membantunya untuk melepaskan diri daripada diambil tindakan undang-undang.


6. Hatinya rindu dan ingin bertemu kembali dengan sanak saudara dan sahabat handai di tempat asal.


7. Hanya hidup ala kadar.


8. Sangat kuat bergantung hati dengan Allah untuk mendapat bantuan dan pertolongan.

Monday, December 6, 2010

BEKAM DAN WAKTU

WAKTU YANG TERBAIK UNTUK BERBEKAM

Diriwayatkan dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, “barangsiapa berbekam pada tanggal 17, 19 dan 21 bulan hijriah maka itu adalah hari-hari yang menyembuhkan segala macam penyakit”.

Imam Sayuti RH berpendapat bahawa berbekam pada tanggal-tanggal seperti di atas memang baik bila badan dalam keadaan sihat, tetapi jika orang yang berkaitan sedang sakit atau sangat memerlukan perawatan dengan cepat, kita tidak harus mengikuti tanggal-tanggal tersebut.
Orang-orang soleh dahulu seperti Imam Ahmad rahmatullah alaihi berbekam apabila darah beliau sedang membengkak. Sahabat Rasulullah SAW, Abu Musa Al Ansyari RA berbekam di waktu malam hari.

Ibnu Sina di dalam kitabnya “Al Qanun fii Thibb” menyebut mengenai waktu yang terbaik untuk berbekam iaitu di antara jam 2 dan 3 petang kerana pada waktu tersebut saluran darah sedang mengembang dan darah-darah yang mengandungi toksid dangat sesuai dikeluarkan.

HARI BERBEKAM

Dari Nafi’ dari Ibnu Umar RA yang berkata, “wahai Nafi’, berbekamlah dengan berkah dari Allah pada hari Khamis, berupayalah menghindari berbekam pada hari Rabu, Jumaat dan Sabtu. Berbekamlah pada hari Isnin dan Selasa, kerana itu merupakan hari dimana Ayyub disembuhkan dari bala’ dan Allah menimpakan bala’ kepadanya pada hari Rabu, kerana sesungguhnya penyakit kusta dan belang mulai muncul selalu pada hari Rabu atau malam Rabu.”

Sebagai seorang herbalis Muslim, kita harus menolong mereka yang memerlukan pertolongan tanpa mengira masa, pangkat dan golongan dengan ilmu yang telah Allah SWT anugerahkan kepada kita.

Berilah sentuhan-sentuhan ilahiah serta memohon kepadaNYA, kerana berbekam seprti juga meminum ubat hanyalah suatu cara pengubatan, sedangkan yang menyembuhkan adalah Allah SWT yang bersifat Asy Syafi.

Disebabkan bekam adalah sunnah Rasulullah SAW maka ianya mempunyai suatu rahsia dan hikmah yang luar biasa dari segi pengamalannya dan bagi ummat Islam yang yakin dengannya, pasti membawa kebaikan yang banyak.

Sabda Rasulullah SAW, “barangsiapa menghidupkan sunnahku sesungguhnya dia mencintai aku, barangsiapa mencintai aku sesungguhnya dia bersama aku didalam syurga” (HR Abu Daud)

Friday, November 5, 2010

PERBEZAAN DI ANTARA BEKAM DAN DERMA DARAH

Terdapat kajian yang telah dilakukan dengan melakukan pengeluaran darah dari pembuluh darah (derma darah) dan darah yang dibekam.

Bekam

Derma darah

Darah dikeluarkan dari kapilari

Darah dikeluarkan dari pembuluh

Tiada darah putih dikeluarkan

Ada darah putih keluar bersama

Mengeluarkan toksid dan kotoran sahaja

Semua kandungan bendalir dikeluarkan

Mengeluarkan LDL, sel-sel darah rosak & bahan kimia yang tidak diperlukan

Mengeluarkan HDL & LDL

Monday, November 1, 2010

BEKAM DALAM KAJIAN


Satu kajian dengan melibatkan doctor-doktor berbagai kepakaran telah dilakukan di salah satu hospital terbesar di Syria (Nuruddin Az Zinki), mereka mendapati:

  • Ø Pada pesakit hipertensi, tekanan darah menjadi normal.

  • Ø Pada pesakit hipotensi, tekanan darah menjadi normal.

  • Ø Pada pesakit yang kekurangan hemoglobin, peningkatan jumlah hemoglobin kembali ke jumlahnya yang normal.

  • Ø Peningkatan jumlah trombosit hingga ke paras normal (100%)

  • Ø Penurunan kadar gula kepada paras normal pada pesakit diabetes (92.5%)

  • Ø Jumlah keratinin menurun (78.5%) pada pesakit yang memiliki masalah keratinin tinggi.

  • Ø Penurunan kadar urea dalam darah (80%) pada pesakit yang menghadapi masalah tingginya kadar urea dalam darah.

  • Ø Penurunan kadar SGPT (80%) pada pesakit yang memiliki masalah tingginya SGPT. Ini menjelaskan adanya aktiviti hati.

  • Ø Berlaku penurunan kolesterol dalam darah (83.6%) pada pesakit yang memiliki masalah kadar kolesterol tinggi dalam darah.

  • Ø Penurunan LDH hingga ke paras normal (93.75%) bagi kebanyakan penyakit.

  • Ø Jumlah leukosit pada darah selepas dibekam menjadi sepersepuluh daripada jumlah darah normal.

Para doktor terkejut dengan hasil yang telah ditunjukkan dalam penelitiannya yang unik dan ilmiah mengenai bekam iaitu rahsia disebalik al-hijamah.

Sunday, October 31, 2010

Antara Hadith-Hadith Bekam

Bekam adalah satu cara pengubatan yang disukai dan digalakkan oleh Rasulullah SAW untuk umat islam. Tujuan bekam adalah untuk mengeluarkan darah yang mengandungi toksid (racun) yang berbahaya dari badan melalui permukaan kulit. Inilah satu cara 'detoksifikasi' yang sesuai dan selamat bagi umat Islam. Sabda Rasulullah SAW : "Barangsiapa berbekam pasti mendapat rahmat dari Allah SWT"

PERINTAHKAN UMAT KAMU AGAR BERBEKAM, WAHAI MUHAMMAD!

Kepada setiap muslim dan muslimah di seluruh dunia,timur dan barat, saya menghadirkan di hadapan anda semua satu kekayaan terpendam, mutiara tersembunyi, sunnah yang dilupakan oleh ramai umat Islam khususnya, dan penyembuh segala penyakit dengan izin Allah SWT di mana Rasul dan kekasih kita Nabi Muhammad SAW bersabda:

"Sebaik-baik pengubatan bagi kalian ialah hijamah (bekam)"
"Barangsiapa berbekam pasti mendapat rahmat dari Allah SWT"
(Riwayat Ahmad dan Tabrani dari Samurah r.a)

Pada malam aku diisra'kan,aku tidak melewati sekumpulan Malaikat melainkan mereka berkata, "Wahai Muhammad, suruhlah umatmu melakukan hijamah (bekam)."
(Sunan Ibnu Majah & Sunan Abi Daud)

"Jibril memberitakan kepadaku bahawa hijamah adalah cara pengubatan yang paling bermanfaat buat manusia."

"Berubatlah wahai hamba-hamba Allah SWT, sesungguhnya Allah tidak menciptakan sesuatu penyakit kecuali menciptakan ubat baginya... diketahui oleh yang mengetahuinya dan tidak diketahui oleh yang tidak mengetahuinya." (Disahihkan oleh Ibnu Hibban dan Hakim)

"Setiap penyakit ada ubatnya, apabila ubat tepat mengenai penyakit, maka akan wujud kesembuhan dengan izin Allah SWT." (HR. Muslim)

"Sesungguhnya Allah SWT telah menciptakan ubat untuk setiap penyakit, maka berubatlah kamu, tetapi jangan berubat dengan sesuatu yang diharamkan." (HR. Abu Daud)

Monday, April 5, 2010

BEKAM??

Sabda baginda nabi Muhammad saw "sesungguhnya Allah swt telah menurunkan penyakit dan ubat,dan menjdaikan utk kamu bahawa setiap penyakit ada ubatnya itu,berubatlah tetapi jangan dengan benda yg haram."

Sabda baginda nabu Muhammad saw pada malam aku diisrakkan,aku telah melalui sekumpulan malaikat melainkan mereka berkata "wahai Muhammad suruhlah ummatmu melakukan al hijamah (bekam)".(sunah ibnu majah & sunah abi daud).

Bekam adalah satu perubatan yg disukai dan digalakkan oleh Rasulullah saw utk umat islam.Tujuan bekam adalah utk mengeluarkan darah yg kotor dan mengandungi toksid (racun) yg merbahaya dari badan melalui kulit.Ini adalah satu 'DETOKSIFIKASI' tg sesuai dan selamat bagi umat islam.

Ianya juga bagi mengekalkan kesihatan dgn menggunakan peralatan khusus pada titik tertentu.Sabda Rasulullah saw "barang siapa berbekam pasti mendapat rahmat Allah swt (riwayat muslim).

Bekam sangat sesuai dgn tujuan perubatan islam itu sendiri khasiatnya iaitu:-
-dapat mencegah dan merawat penyakit
-bekam amat berkesan utk melegakan dan menghilangkan kesakitan
-memulihkan daya tahan tubuh (imuniti)
-membersihkan darah
-meningkatkan aktiviti saraf tulang belakang
-meredakan peragangan
-mempertingkatkan aktiviti organ dan kalenjar
-melancarkan peredaran darah

7 AMALAN HARI EXAM

  1. (Solat Hajat 2 rak.) keluar bilik/rumah baca:

بِسم اِلله تَوَكّلْتٌ عَلَى اللهِ

  1. Dalam perjalanan ke dewan peperiksaan baca:

يَا ذَا الْجَلَالِ وَالإِكْرَامِ 3x

  1. Masuk dewan langsung di baca:

سَلَـٰمٌ۬ قَولاً۬ مِّن رَّبٍّ۬ رَّحِيمٍ۬

  1. Terima kertas soalan terus sahaja baca:

إِيَّاكَ نَعبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

  1. Bila dah nak mula jawab bacalah:

ٱهدِنَا ٱلصِّرَٲطَ ٱلُمُسْتَقِيمَ

  1. Soalan sukar baca selawat dan ayat:

وَكَانَ ذَالِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرً۬ا

  1. Bila dah semak dan nak serah kertas jawapan baca:

وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ وَلِيّاً وََّكَفَىٰ بِٱللَّهِ نَصِيرً۬ا

Sunday, March 28, 2010

sedikit motivasi

Sedikit motivasi untuk kita hayati bersama pada hari ini. Motivasi ini pun saya ambil dari emel yg saya terima.

Setiap orang inginkan kejayaan dan kekayaan dalam hidup. Tetapi sebenarnya ada 3 sebab atau 3 faktor yang menghalang kita untuk mencapai bebas kewangan.

Sebab Pertama: Tidak mengambil keputusan untuk bebas kewangan.

Ya betul...semua orang mengharapkan, malah mendoakan kejayaan dan kekayaan. Tetapi tidak mengambil keputusan yang jitu untuk mencapai kejayaan. Kita silap kerana tidak meletakkan keutamaan kejayaan dan kekayaan di dalam hidup. Jadi, mulai hari ini tetapkan keutamaan kejayaan dan kekayaan dalam hidup.

Jika kita ingin menjadi doktor, kita akan belajar perubatan.
Jika kita ingin menjadi peguam, kita akan belajar undang-undang.
Jika kita ingin menjadi penyanyi, kita akan belajar muzik.
Jika kita ingin bebas kewangan, kita perlu belajar mengenai wang


Sebab Kedua: Menangguh-nangguhkan langkah sehingga menjadi terlalu lewat.

Ya..setiap penangguhan disertakan sekali dengan alasan.

Saya busy lah...
Saya tak ada masa lah...
Saya takde kemahiran lah...
Saya takde duit lah...

dan bermacam-macam lagi alasan. Bak kata Dr Fadhilah Kamsah, "Orang buat duit, kita buat alasan..." setiap alasan logik2 belaka..yer lah, nama pun alasan...

Setiap manusia biasanya tergerak untuk melakukan sesuatu termasuk mencari duit lebih apabila timbul masalah sahaja. Masa tengah senang, tak ada fikir pun...Buat tak endah, tak risau..buat rileks jer...Tak hiraukan apa-apa. Bila dah ada masalah, mulalah kelam kabut. Mulalah mencari penyelesaiannya. kadang2 keadaan dah terlalu lewat dan sukar melakukan perubahan.

Oleh itu, kita perlu bersedia lebih awal. Orang tua-tua kata, "sediakan payung sebelum hujan".

Sedarilah...memang terdapat hubungan antara wang dan masa. Jika anda bercita-cita untuk bebas kewangan, mulalah secepat mungkin.

Bayangkan anda inginkan kebebasan dengan menjana pendapatan RM20,000 sebulan pada 2 tahun lagi. Jika anda bermula sekarang, anda mempunyai masa selama 2 tahun untuk berusaha. TETAPI jika anda ingin bermula setahun kemudian, anda hanya ada masa 1 tahun sahaja untuk fight ! mampukah anda?

Jadi, mulakan awal..seawal mungkin. Bila lagi kalau bukan hari ini?

Sebab ketiga : Sikap takut pada kegagalan - anda akan gagal.

Akibat takut pada kegagalan, seseorang itu tidak meletakkan usaha yang lebih.

Akibat takut pada kegagalan, seseorang itu tidak memulakan perniagaan.
Akibat takut pada kegagalan, seseorang itu tidak memulakan usaha.
Akibat takut pada kegagalan, seseorang itu tidak MELAKUKAN LANGKAH PERTAMA !

Contohnya, saya bagi jelas sikit. Bila anda takut pada kegagalan, anda tidak akan berusaha dengan kuat. Mungkin anda akan cakap macam ni dalam hati,

" Alahh..tak perlu lah buat betul-betul...kalau tak menjadi pun takpe, takde la rugi dan terasa sangat. Kita buat sikit jer..so tak pressure sangat"

Anda silap kalau berfikir macam tu kerana, musuh utama kepada kejayaan adalah, takut kepada kegagalan. Saya ulangi sekali lagi, MUSUH UTAMA KEPADA KEJAYAAN ADALAH KERANA TAKUT PADA KEGAGALAN.

Sebenarnya, kegagalan mengajar kita cara untuk berjaya. Daripada hasil kajian mendapati, jutawan-jutawan dan orang-orang yang berjaya pada hari ini adalah 98% PERNAH GAGAL...

Mungkin pernah gagal dalam perniagaan...
Atau pernah mengalami hutang keliling pinggang...

Takut kepada kegagalan, menghalang kita mengambil langkah pertama !

Orang yang berjaya adalah, orang yang akan bangkit kembali daripada kegagalan dan terus berusaha dengan meletakkan matlamat dihadapan.

Apapun rintangan dan halangan, mereka bangkit lagi... demi matlamat yang harus di capai.

Monday, March 8, 2010

7 Ciri Positif Orang Berjaya

1. Orang yang positif semakin tercabar, semakin kuat berusaha.
Seseorang yang positif berperibadi kuat seumpama besi waja; semakin dibakar oleh keadaan, semakin menghadapi cabaran hidup, semakin teguh dan tajam melayari kehidupan. Seseorang yang berperibadi lemah laksana timah atau lilin – apabila terkena api, hancur lebur. Apabila terketuk oleh cabaran; berkecai.

Dr. Mahathir Mohamad banyak memberi contoh yang cemerlang kepada kita semua. Lagi banyak masalah yang dihadapi, lagi bertambah kuat beliau. Seperti gam “exhaust pipe”, semakin kepanasan, semakin keras mencengkam! Orang lain sudah habis dan gawat idea, beliau keluar pula dengan idea yang mengejutkan! Itulah yang amat kita kagumi mengenai YAB Dr. Mahathir. Semakin tercabar, semakin gagah! Dunia amat mengkagumi idea-idea beliau. Dunia amat mengharapkan pandangan-pandangan dan fikiran-fikiran Dr. Mahathir.

2. Orang yang positif melihat peluang dalam kegawatan.
Orang yang negatif melihat kegawatan sebagai penghalang kemajuan. Tetapi, orang yang positif dapat melihat peluang keemasan dari kegawatan!

Aristotle Onassis, jutawan Greek, asalnya seorang budak miskin. Ia pindah ke Argentina dari Greek untuk mencari penghidupan baru. Umurnya waktu itu hanya 17 tahun. Lepas perang Dunia Kedua, dunia menghadapi kemelesetan ekonomi. Banyak syarikat bankrap. Tetapi Onassis telah nampak satu peluang. Ia sedar yang tentera Amerika sedang menghadapi masalah kelebihan kapal perang. Kapal-kapal tidak lagi digunakan untuk berperang. Ia telah membeli kapal-kapal kecil tentera Amerika itu dengan harga murah.

Setelah membuat sedikit-sedikit pindaan, kapal-kapal itu telah boleh digunakan. Ia telah gunakanya untuk mengangkut barang-barang dan minyak. Dari sinilah permulaan sebenar bagaimana Onassis menjadi seorang jutawan.

Begitulah kelebihan Onassis. Sedang orang lain berada dalam keadaan negatif, beliau bertindak secara positif.

3. Orang yang positif sentiasa berusaha bersungguh-sungguh.
Pelbagai contoh kejayaan yang menjadi sejarah membuktikan bahawa sikap positiflah yang membawa kejayaan kepada mereka yang mencapai kejayaan besar dalam kehidupan.

Perdana Menteri Inggeris, Harold MacMillan pernah menceritakan tentang nasihat ayahnya, “Mac, kalau kau telah fikir sesuatu perkara itu berguna dibuat, buatlah bersungguh-sungguh”.

Semangat waja Paul Getty juga amat baik sekali kita contohi.

4. Orang yang positif sentiasa mencari jalan memperbaiki diri.
Peter Drucker, professor ilmu pengurusan di Amerika ada berkata: “Pengurus yang berjaya sentiasa bertanya kepada dirinya apakah yang boleh ia buat, bukan apa yang orang lain patut buat”.

Dengan sikap seperti ini, tiap-tiap orang boleh berjaya malah dapat pula membawa kejayaan kepada penghidupan diri, keluarga dan masyarakatnya. Dengan bersikap positif, tenaga yang biasa digunakan untuk mengecam, memaki hamun, dan memarah-marah itu dapat digunakan untuk perkara-perkara membina.

Dengan bersikap positif, seseorang itu akan mencari jalan untuk membaiki kehidupannya. Bukannya berharap kepada orang lain untuk membaiki kehidupannya. Orang yang positif bertanggungjawab kepada dirinya sendiri – berdikari.

5. Seseorang yang positif tidak menyalahkan keadaan.
Seseorang yang bersikap positif tidak mengeluh atau mengecam bila ditimpa kemalangan, musibah atau terdapat kekurangan pada dirinya. Sebaliknya ia menggunakan kekurangan-kekurangan itu untuk kebaikan kepada dirinya serta orang lain.

Napoleon, yang kecil dan rendah iaitu 5 kaki 1 inci sahaja, selalu dipermainkan oleh rakan-rakannya di Maktab Tentera tempat ia belajar – sebab pendek. Tambahan pula, Napoleon ialah seseorang yang berasal dari Pulau Corsica, pulau yang dipandang tidak begitu penting oleh orang-orang Perancis.

Kerana itu, Napoleon telah berazam untuk menunjukkan kepada rakan-rakannya bahawa ia lebih baik daripada orang lain. Ia telah belajar ilmu ketenteraan dengan bersungguh-sungguh. Akhirnya, beliau menjadi Maharaja Perancis – menakluki tiga suku Benua Eropah. Kekurangannya serta ejekan-ejekan dari rakan-rakannya tadilah yang mendorongnya menjadi panglima terkenal.

6. Orang yang positif mendengar dahulu pendapat orang lain.
Orang-orang yang bersikap positif tidak mengenepikan kecaman-kecaman musuhnya misalnya dengan terus mengatakan orang itu salah. Tetapi, ia akan mendengar kecaman-kecaman tadi dan memikirkan betulkah ia salah atau tidak. Perlu diingat, bila orang mengecam tentulah ada sebab-sebabnya. Kadang-kadang daripada kecaman orang lain, kita boleh dapat petunjuk untuk membaiki diri dan kerja kita.

Presiden Abraham Lincoln telah dikecam oleh Menteri Pertahanannya, Edward Stanton. Ia telah digelar oleh Stanton sebagai seorang dungu. Adakah Lincoln marah dan memecat Menteri Pertahanan itu? Tidak. Sebaliknya, ia telah bertanya kepada Stanton mengapa ia berkata begitu?

Stanton telah menerangkan bahawa langkah Lincoln memindahkan beberapa battalion tentera ke suatu tempat itu akan merugikan kerajaan Amerika. Lincoln yakin akan penerangan Stanton itu lalu terus menarik balik rancangannya tadi.

Sebaliknya, Presiden Suharto yang tidak mengindahkan kecaman orang bahawa dasar pentadbiran dan ekonominya tidak dapat membawa keadilan sosial kepada masyarakat Indonesia akhirnya terpaksa meletakkan jawatan dalam keadaan yang amat mengaibkan. Saya teringat kata-kata Dr. Mahathir yang kira-kira bermaksud “Don’t overstay.” “Kalau nak berhenti makan, berhenti masa tengah sedap makan.”

7. Orang yang positif sentiasa bangun apabila terjatuh.
“Orang yang penggamang mati jatuh, orang yang pending mati hanyut.” Bidalan – Pepatah Melayu; Penjelasan: Penakut tidak dapat apa-apa.

Tuesday, March 2, 2010

ISTAK - Bir Halal?



Malaysian Iranian Corporation Sdn. Bhd. (MICSB), pemegang hak eksklusif bagi pengedaran minuman bir tanpa alkohol jenama 'Istak' dari Iran, bakal membuka sebuah kilang di negara ini dengan pelaburan hampir RM50 juta.

Pengarah Urusan MICSB, Mahdi Bagherian berkata, pelaburan itu merupakan langkah pertama untuk produknya meneroka pasaran Malaysia dan Asia Tenggara. Tiga lokasi yang dicadangkan bagi pembinaan kilang itu ialah di Pelabuhan Klang, Melaka, dan Johor Bahru, katanya.

"Minuman tanpa alkohol atau halal ini merupakan produk terbaru yang dipasarkan ke negara ini malah permintaan terhadapnya amat menggalakkan terutamanya bagi pelanggan bukan Islam dan penggemar minuman alkohol yang mahu mencari alternatif lain," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.Istak dihasilkan melalui pemilihan malt (bijirin biasanya barli yang diperam) paling berkualiti dan dikeluarkan menerusi syarikat yang berpengkalan di Iran, Arpanoosh Industrial Co. yang berpangkalan di Iran.

Syarikat dengan keupayaan pengeluaran 35,000 botol sejam itu memiliki barisan pengeluaran terbesar di samping keupayaan teknologi mesin paling terkini dari Jerman.
Menurut Bagherian, produk tersebut masih baru di pasaran tempatan namun produk tersebut akan dijual di pasar raya besar, pasar raya dan hotel-hotel di seluruh negara. Katanya, ketika ini syarikat yang beroperasi di Putrajaya itu mengimport kira-kira 20 buah kontena yang mengandungi 1.2 juta botol minuman Istak untuk dipasarkan ke Malaysia. Melalui pembinaan kilang yang bakal dibina itu, beliau memberitahu, keupayaan untuk mengeluarkan minuman itu boleh mencapai dua kali ganda jika penggunaan teknologi sama seperti di Iran diguna di negara ini.

"Jenama Istak ini bukan jenama asing di luar negara kerana Arpanoosh telah mengeksport minuman itu ke Jerman, Afghanistan, Palestin, Lubnan, Azerbaijan dan Australia," katanya. Jika perancangan untuk membuka kilang baru di negara ini menjadi kenyataan, Istak akan dieksport ke Indonesia, Thailand, Singapura manakala di Vietnam jenama minuman tersebut telah pun dijual baru-baru ini.

Bagi mengukuhkan jenama itu di rantau ini, MICSB telah menaja sebuah pasukan rali-SR Motorsports bagi meningkatkan kesedaran jenama itu di kalangan pengguna, selain meningkatkan kesedaran di kalangan pengguna remaja tentang kebaikan minuman tanpa alkohol di dalam sukan. Selain itu, minuman itu didakwa baik untuk kesihatan termasuk mampu mengelakkan sakit buah pinggang,, mengurangkan tekanan, membina tenaga dan mampu mengurangkan kolesterol.
Ditulis oleh Nandre The Legend

Saturday, February 13, 2010

Solat Istikharah Penting Dalam kehidupan Harian Kita

Bila di sebut sahaja Solat Istikharah kebanyakan di kalangan kita hanya terbayangkan ketika hendak memilih jodoh. Ia begitu sinonim sekali dalam membuat keputusan untuk memilih bakal teman hidup tidak kira bagi lelaki mahupun perempuan. Perkara ini mungkin berlaku kerana penekanan di kalangan sesetengah Ustaz dalam soal istikharah ini dikaitkan dengan memilih jodoh sahaja.

Sebenarnya amalan Solat Sunat Istikharah ini skopnya luas. Kita kadang-kadang tidak diberikan penerangan yang jelas dalam soal ini. Sedangkan amalan Solat Istikharah ini sangat-sangat di galakkan oleh Rasulullah sebagaimana disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari;

Mahfum Hadis:
Dari Jabir ra., ia berkata: “Nabi pernah mengajarkan kepada kami Istikharah dalam berbagai urusan, seperti mengajarkan sebuah surah dalam Al Quran.

Kalau seseorang dari kamu menghendaki sesuatu, maka hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian berdoa:

“Ya Allah! Aku mohon pemilihanMu menerusi pengetahuan u dan aku mohon kekuatanMu menerusi kudratMu serta aku minta padaMu sebahagian dari limpah kurniaMu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini adalah baik bagiku dalam urusan agamaku juga dalam urusan kehidupanku serta natijah pada urusanku, kini dan akan datang, maka tetapkanlah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya.”

Betapa pentingnya Solat Istikharah ini sebagaimana pentingnya kita mempelajari al-Quran.

Sebagai satu iktibar dan renungan penulis ingin berkongsi beberapa contoh kisah benar yang berlaku di kalangan sahabat-sahabat yang terlupa mengamalkan solat istikharah. Nama dalam kisah ini bukan nama sebenar.

Kisah-1
Setelah berpindah randah dari satu rumah sewa ke rumah sewa, akhirnya tergerak hati Salim untuk memiliki rumah sendiri. Lalu dia melihat iklan di surat khabar dan berkenan dengan tawaran rumah yang agak munasabah harganya. Rumah tersebut masih belum dibina lagi tetapi pihak pemaju telah menawarkan pakej jualan yang istimewa. Pihak pemaju perumahan memberi jaminan rumah tersebut akan siap dalam masa dua tahun. Salim berminat dengan rumah tersebut lalu terus membelinya. Kini lima tahun telah berlalu, projek perumahan itu telah terbengkalai kerana pemaju telah muflis. Salim terpaksa membayar ansuran bulanan hutang kepada bank walaupun rumah yang diidamkan masih tidak wujud.

Kisah-2
Abu dan Salmah telah berkahwin selama 4 tahun. Mereka dikurniakan dengan dua orang cahaya mata. Anak yang sulung telah berumur 3 tahun dan yang kedua masih 8 bulan. Mereka berasa agak susah hendak ke sana kemari kerana hanya memiliki motosikal. Satu hari Salmah mencadangkan kepada Abu untuk membeli kereta. Abu lalu terus pergi ke Perodua Showroom untuk melihat-lihat kereta. Dia berkenan dengan model Kelisa lalu terus membelinya. Selang sebulan keretanya kena curi. Dah enam bulan berlalu keretanya masih tidak ditemui, tetapi dia masih membayar ansuran bulanan dengan pihak bank kerana pampasan yang pihak insurans bagi tidak mencukupi untuk melangsaikan bayaran baki hutang dengan pihak bank.

Kisah-3
Munirah akhirnya terpikat dengan pujukan rakan satu ofisnya Hafsah untuk melabur dalam satu skim pelaburan di internet. Dia akhirnya mengeluarkan sehingga RM10,000 untuk pelaburan tersebut. Dua tahun telah berlalu duit pelaburannya lesap tak nampak bayang.

Kisah-4
Rashid dan Zakiah telah mempunyai tiga orang anak. Mereka bercadang untuk mengambil pembantu rumah Indonesia. Mereka pergi ke agensi pembantu rumah dan terus memilih seorang pembantu rumah yang terdapat dalam senarai biodata. Selang dua bulan pembantu rumah pun sampai dan berkhidmat kepada mereka seperti yang dijangkakan. Tiga bulan berlalu tiba-tiba pada satu hari didapati pembantunya telah lari dari rumah.

Kisah yang dipaparkan di atas adalah kisah benar di mana penulis sendiri bertanya kepada mereka adakah mereka telah melakukan Solat Istikharah sebelum memilih atau membuat keputusan. Mereka kata langsung tak terfikir hendak melakukannya.

Kisah -5
Iskandar berumur 40 tahun telah berkahwin dan mempunyai enam orang anak. Suatu hari dia mendapat telefon dari kawan baiknya Jaafar. Jaafar hendak memberikan satu hadiah istimewa kerana jasa Iskandar yang telah menyelesaikan masalah keluarganya. Jaafar hendak menawarkan kepadanya perbelanjaan pakej menunaikan haji untuk suami isteri ditanggung sepenuhnya iaitu RM15,000 setiap orang. Hati Iskandar gembira bukan kepalang kerana sudah lama dia mengidam untuk menunaikan haji. Lagipun duit simpanan dalam tabung hajinya baru RM3000. Iskandar tidak terus menerima hadiah tersebut sebaliknya dia memberi tempoh tiga hari untuk membuat keputusan. Iskandar melakukan Solat Istikharah tiga malam berturut-turut. Pada hari keempat dia berjumpa Jaafar mengatakan dia sangat berat untuk menerima hadiah tersebut. Dia mengatakan ingin pergi menunaikan haji dengan duit pendapatan sendiri. Jaafar agak kecewa, dipujuknya namun Iskandar tidak terima juga. Selang dua bulan selepas itu baru Iskandar mendapat tahu duit yang hendak diberikan kepadanya itu adalah dari duit riba iaitu interest bank konvensional akaun simpanan tetap Jaafar. Jaafar telah tersalah sangka. Disangkanya bahawa duit riba boleh dihadiahkan kepada orang lain tetapi tidak boleh digunakan sendiri.

Kisah-6
Cikgu Imran telah mendapat arahan pertukaran sekolah dari Sabak Bernam ke Sandakan. Bila menerima surat tersebut hatinya agak gembira kerana ingin memberi khidmat di kawasan pedalaman. Baginya tidak ada masalah sebab masih bujang, dan teringin sangat hendak ke Sabah. Dia solat Istikharah walaupun keputusan telah ditetapkan oleh kementerian kepadanya. Dia berdoa “Ya Allah kalau pemergian aku ke Sandakan ini baik untukku dan agamaku maka permudahkanlah jika tidak kau gantikanlah dengan yang lebih baik dan sempurna”. Selang dua minggu Pengetua disekolahnya memberitahu kepadanya pertukaran dia ke Sabah di tarik balik disebabkan masalah teknikal. Dia rasa agak pelik namun tidak kecewa malah tetap gembira kerana telah melakukan solat istikharah. Dia yakin ini yang terbaik di pilih oleh Allah untuknya. Selang sebulan dia bertemu Jodoh dengan Ustazah (al-Hafizah) yang baru berpindah di taman tempat dia tinggal.

Semua kisah yang dipaparkan di atas adalah kisah benar yang boleh kita ambil iktibar dan pengajaran. Yang pastinya kita tidak akan rugi di dunia dan akhirat bila beramal dengan Solat Istikharah ini.

Dewasa ini ramai di kalangan kita hendak membeli rumah yang berharga lebih RM200,000. Bayaran balik mungkin mengambil masa selama 20 hingga 25 tahun. Dalam tempoh tersebut macam-macam perkara boleh terjadi. Jika sekiranya kita melakukan Solat Istikharah sebelum membeli rumah tersebut, pasti Allah akan mendorongkan kita membuat pilihan yang tepat dan memudahkan segala urusan. Penulis ada bertemu dengan beberapa sahabat yang melakukan Solat Istikharah sebelum membeli rumah, Alhamdulillah segala urusan menjadi mudah dan dapat membayar balik hutang rumah lebih awal daripada yang dijangkakan.

Seperkara lagi, supaya Allah SWT memakbulkan doa kita, jauhilah segala bentuk pinjaman yang ada unsur-unsur riba’ seperti dari sistem konvensional. Pilihlah sistem perbankan Islam semoga Allah memberikan keberkatan dan menurunkan rahmatnya sepanjang tempoh pinjaman di buat. Yakin dan percayalah jika kita mengikut suruhan Allah, pasti Allah akan membantu kita di ketika senang dan susah. Jika Allah bantu kita tiada sesiapa yang boleh menghalangnya.

Mengikut beberapa buah kitab seperti Kitab Minyatul Musolli, Sabilal Muhtadin dan Sairus Salikin, secara ringkasnya cara melakukan Solat Istikharah adalah seperti berikut;

- Waktu yang terbaik ialah pada 2/3 malam (iaitu sekitar pukul 2 pagi). Bagaimana pun boleh dilakukan pada bila-bila masa dalam waktu yang di haruskan sembahyang contohnya selepas maghrib.

- Niatnya: “Sahaja aku sembahyang sunat istikharah dua rakaat kerana Allah ta’ala”

- Dalam rakaat pertama selepas Surah Al-Fatihah baca Surah Al-Kafirun atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca.

- Dalam rakaat kedua selepas Surah Al-Fatihah baca Surah Al-Ikhlas atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca.

- Selepas memberi salam baca doa berikut (mulakan dengan basmalah dan selawat terlebih dahulu).

Terjemahan Doa’ :

Ya Allah!

Aku mohon pemilihanMu menerusi pengetahuanMu dan aku mohon kekuatanMu menerusi kudratMu serta aku minta padaMu sebahagian dari limpah kurniaMu yang sangat besar.
Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib.

Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini (…sebutkan hajat..) adalah baik bagiku dalam urusan agamaku juga dalam urusan penghidupanku serta natijah pada urusanku, kini dan akan datang, maka tetapkanlah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini (…sebutkan hajat..) membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya.

(Dari hadis riwayat Imam Bukhari)

Semoga artikel pendek ini memberi manfaat kepada kita semua.
Wallah hu ‘alam